Rabu, 18 Ogos 2010

HANYA TUHAN YANG TAHU

Aku tidak mahu katakan itu salah sesiapa. Malah ada waktunya aku fikir dan rasa, yang salah sebenarnya adalah aku kerana begitu mudah tergiur dan cepat menerima. Kalau aku tidak begitu, tentu tidak terjadi dan aku pun tidaklah sampai begitu sekali berasa malu dan terhina.

Kerana memilih untuk meletakkan salah itu kepada diri sendiri jugalah maka aku mendiamkan diri agak terlalu lama. Walau di dalam hati terasa membengkak dan seringkali melara, namun semua itu cuba aku minggirkan jauh-jauh dari fikiran, seolah semua itu tidak terjadi. Dengan harapan agar ianya tidak sampai ke tahap menjadi gangguan yang berterusan.

Tetapi kawan-kawan yang tahu penglibatan aku sering bertanya akan kesudahannya bila setiap kali berjumpa. Demi untuk tidak sampai ke tahap menghina sesiapa, walau pun sebelum ini hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan aku, aku hanya senyum dan memilih untuk tidak berkata apa-apa sebagai jawapannya.

Walau beberapa kawan ini cuba mengorek-ngorek dan memancing-mancing agar aku bercerita apa yang sebenarnya berlaku berhubung penglibatan aku itu, namun aku masih bertegas untuk tidak bercerita apa pun mengenainya.

Kata aku kepada diri,biarlah segalanya aku tahu dan simpan sendiri di dalam hati. Walau ketika mula-mula menjauhkan diri dahulu aku pernah diberitahu oleh seseorang agar jangan bercerita apa-apa mengenainya, namun pilihan aku untuk mendiamkan diri itu bukanlah kerana suruhan sesiapa.

Kata orang tua-tua, asal kapas menjadi benang, dari benang menjadi kain. Untuk apa perkara yang lepas di kenang-kenang, biarlah menjadi silam yang lain. Rasa malu dan terhina itu biarlah aku seorang yang menanggungnya. Kerana memang mungkin juga kebodohan aku yang terlalu mudah percaya itu maka menyebabkan aku terkena. Biarlah ini menjadi pengajaran.

Tetapi sebagai manusia yang dianugerahi Tuhan rasa dan fikir untuk menilai serta menimbang segala sesuatu, pastilah juga aku dapat merasakan bila tibanya suatu saat yang aku rasakan lain dan berbeza.

Begitulah. Selepas beberapa lama memilih sikap diam dan tidak mahu bercerita apa-apa, beberapa teman yang tahu mengenai penglibatan aku akhir-akhir ini bila setiap kali bertemu, aku kesani cara dan gaya bertanya mereka mengisyaratkan seolah-olah yang menjadi punca adalah aku. Malah seorang yang lain pula, nada bertanyanya seolah-olah mendesak aku bahawa kerana sikap aku yang agak menipu itulah sebenarnya yang menjadi punca keretakan.

Mujurlah usia yang semakin menua menjadikan aku semakin dapat menahan sabar dan tidak mudah lagi untuk memberikan kembali sebarang reaksi yang sampai boleh aku dilabelkan sebagai pongah dan kurang beradab.

Apa yang terjadi hanya Tuhan yang lebih mengetahui. Biarlah apa pun fitnah dan umpat di belakang, aku pasrah dan tahu kepada Dia hanya tempat aku berserah.

Sebagai manusia biasa, aku sedar dan insaf.

Hanya, diam-diam dan di dalam hati sendiri, aku memendam rasa malu serta terhina.

Biarlah. Aku serahkan segalanya kepada Allah yang Maha Mengetahui.

Biarlah apa tanggapan orang, namun yang menanggung rasa malu dan terhina adalah aku.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa rasa malu dan terhinanya aku.

Tidak tahulah kalau bagi orang lain kata-kata sebegitu tidak membawa maksud apa-apa.

1 ulasan:

  1. Serahkan kpd Allah...dan doakan yg baik2 saja ok.

    Prinsip: Orang yg di zalimi...doanya cukup makbul.

    Ada petua: Bila kita dizalimi...gunakan masa itu utk doa yg baik utk diri kita.

    BalasPadam